Madu Lebah Bunga
Pada suatu masa, sebuah kampung diserang oleh musim kemarau yang panjang. Banyak ternakan dan tanaman mati kerana panas terik. Penduduk kampung bermuafakat untuk pindah. Mereka mahu mencari kehidupan yang baharu.
Akhirnya penduduk kampung itu pun pindahlah. Mereka menuju ke hutan yang besar. Mereka harap kehidupan akan berubah di sana. Apabila hampir sampai, ramai antara mereka sudah tidak berdaya lagi untuk berjalan. Mereka terbaring di sana sini tidak ketahuan lagi.
Seorang anak muda telah cuba pergi memasuki kawasan hutan dekat situ. Dia harap akan berjumpa dengan air atau sesuatu yang boleh dimakan. Tiba-tiba dia mendengar suara orang menyayi. Puas dia memerhatikan di sana sini, namun tiada siapa dilihatnya. Dia mendongak. Dia melihat beribu-ribu ekor serangga kecil sedang menghurung kuntum-kuntum bunga yang ada pada pokok-pokok di situ. Serangga itu berwarna hitam. Anak muda itu mengikut sekawan serangga itu terbang ke satu arah. Di sana dia melihat serangga itu berkumpul di satu dahan. Mereka bergayutan antara satu sama lain.
Serangga itu berkumpul menjadi satu kumpulan yang besar tergayut pada dahan itu. Tiba-tiba anak muda itu melihat sesuatu menitis dari serangga yang banyak itu.
Dengan jari dia mencolek titisan itu ke lidah. Rasanya amat manis. Anak muda itu hairan kerana setelah memakan beberapa titisan, badannya terasa segar. Laparnya hilang serta-merta. Dia pun menadah titisan dengan daun kayu. Titisan itu diberinya minum kepada beberapa orang yang terbaring kerana kelaparan dan sakit itu.
Semua orang kampung akhirnya sembuh dan tidak lapar walaupun hanya memakan setitis air manis itu. Tahulah mereka bahawa titisan itu boleh menjadi ubat.
Selepas itu mulalah mereka memerhatikan sekumpulan serangga hitam itu. Akhirnya mereka mengenali serangga itu dengan nama lebah madu. Madunya boleh dimakan serta boleh pula dibuat ubat. -THE END-
No comments:
Post a Comment